Thursday, July 11, 2013

Malam berbulan sabit

Pada malam berbulan sabit, lebih kurang 40 minit ke tengah malam, seorang ayah dan anak kecilnya sudahpun lelap. Si ayah melepas lelah daripada perjalanan yang panjang lagi sesak, manakala si anak tidur untuk membesar.

Suara zikir dari masjid berdekatan sudah tidak kedengaran lagi. Para jemaah yang sabar bersolat terawih sehingga 20 rakaat sudahpun pulang ke rumah masing-masing.

Dalam kesunyian ini si ibu tiba-tiba terasa seperti 'kosong'. Tiada siapa hendak diberikan perhatian, tiada permintaan hendak diturutkan.

Mengisi kesunyian kadangkala merungsingkan. Fikiran yang melayang jauh, berupaya menenggelamkan diri ke lembah hitam yang menakutkan. Suara sepi mengundang kenangan lama yang membawa bersama penyesalan, manakala percaturan masa hadapan diiringi kerisauan dan ketidakpastian.

Akhirnya si ibu memilih untuk bersyukur dan berdoa. Berdoa memohon keampunan kerana menyedari penyesalan tidak akan mengubah sejarah dan berdoa untuk masa depan yang baik kerana yakin dengan Kasih dan RahmatNya.

Syukur atas segalanya yang telah berlaku, dan yang sedang berlaku. Tanpa masa lalu tiadalah masa kini, dan masa kini iaitu pada malam berbulan sabit, lebih kurang 10 minit ke tengah malam, si ibu merasakan tiada yang lebih membahagiakan daripada melihat dua orang tersayang, iaitu si ayah dan si anak kecilnya lena diulit mimpi.






No comments:

Post a Comment